• Jum. Des 6th, 2024

Beritababe

Nyok Baca Berita Dari Babe DIjamin Aktual Gak Boong

KISAH PENUH KKN DI DESA PENARI JL DESA PENARI 44

DESA PENARI

KISAH PENUH KKN DI DESA PENARI

 

    Kisah KKN di Desa Penari ini pertama kali ditulis oleh seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun nama @SimpleM81378523 bermula dari 24 Jun 2019 hingga 25 Julai 2019 dengan lebih daripada 500 ciapan yang dibahagikan kepada beberapa bebenang. Nama lokasi seperti desa, kota dan universiti dirahsiakan. Kejadian yang dikatakan sebagai kisah benar ini berlaku pada tahun 2009 dengan watak-watak yang terlibat adalah Nur, Widya, Ayu, Bima, Wahyu, Anton, Mas Ilham (Abang Ayu), Pak Prabu dan Mbah Buyut.

    Baiklah, mari mulakan cerita.

    Pada satu malam, Ayu dan Nur telah membincangkan projek KKN (Kerja Kuliah Nyata / Projek Khidmat Masyarakat) sempena tugasan semester akhir kuliah mereka. Ayu memberitahu Nur tentang sebuah lokasi yang dirasakannya sesuai untuk menyiapkan tugasan KKN mereka. Diringkaskan cerita, Nur, Ayu dan Mas Ilham pun berangkat ke lokasi KKN tersebut yang memakan masa 4 hingga 6 jam perjalanan dari kota mereka. Pada masa sama, Nur sebenarnya dilanda kebimbangan memandangkan lokasi DDN itu berada di arah timur yang dikatakan mempunyai unsur mistik. Semasa dalam perjalanan, Nur sempat melihat seorang pengemis lelaki tua yang seakan memberi isyarat kepadanya supaya Nur membatalkan niat untuk pergi ke lokasi KKN mereka. Setibanya di kota, Nur diberitahu bahawa desa yang berada di tengah hutan tersebut hanya boleh dimasuki dengan menaiki motosikal. Semasa membonceng motosikal dalam hutan itu, Nur telah melihat ada seorang wanita cantik yang sedang menari di atas batu. Wanita tersebut mengukir senyuman terhadap Nur. Tidak lama kemudian, wanita itu hilang daripada pandangan mata Nur. Bermula saat itu, Nur mula menyedari bahawa ada sesuatu yang telah menyambut kedatangan mereka ke desa tersebut.

https://beritababe.com/kisah-penuh-kkn-di-desa-penari-jl-desa-penari-44/

 

    Sampai di desa itu, Nur, Ayu dan Mas Ilham pun pergi ke rumah Pak Prabu yakni ketua desa tersebut. Pak Prabu memberitahu bahawa desa mereka tidak pernah dijadikan sebagai tempat tugasan KKN. Biarpun Pak Prabu pada mulanya tidak setuju dengan tujuan kedatangan Nur, Ayu dn Mas Ilham, dia bersetuju jua selepas puas dipujuk. Selepas itu, Nur, Ayu dan Mas Ilham pun diajak oleh Pak Prabu untuk mengelilingi desa. Sewaktu mengelilingi desa, Nur sempat melihat ada sebuah batu yang ditutup dengan kain. Di bawah batu tersebut, ada sajian dan kemenyan. Di atas batu itu pula ada satu lembaga hitam bertanduk kerbau dengan mata merah yang menjeling tajam ke arah Nur. Mahkluk tersebut adalah Genderuwo. Disebabkan itu, Nur mengajak Ayu untuk segera pulang. Ketika berada dalam kereta, Ayu telah menyuruh Nur untuk mengajak Bima, Widya dan seorang lagi senior mereka untuk turut serta dalam projek KKN tersebut. Nur bersetuju walaupun dia agak keberatan dengan perkara tersebut. Nur dan Bima sebelum ini belajar di sebuah sekolah pondok yang sama.

https://beritababe.com/kisah-penuh-kkn-di-desa-penari-jl-desa-penari-44/

Tiba hari sebenar projek KKN tersebut, ibu Widya pada mulanya keberatan untuk melepaskan Widya pergi ke desa itu. Namun memikirkan KKN berkenaan adalah penting untuk Widya, ibu Widya mengizinkan jua anak perempuannya itu untuk pergi. Sewaktu dalam perjalanan, hujan gerimis mula melanda. Semasa kereta yang dinaiki oleh enam orang mahasiswa tersebut berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat merah, tiba-tiba ada seorang wanita tua mengetuk kereta tersebut berkali-kali dari luar. Pemandu kereta itu pun melemparkan wang ke arah wanita tua tersebut. Nur sekali lagi mendapat petunjuk. Dia melihat bibir wanita tua itu menyebut “jangan berangkat nak!”. Sampai di kawasan perhentian, mereka semua pun menaiki motosikal untuk masuk ke dalam desa itu. Kali ini, Nur terdengar bunyi gamelan dengan aroma bau bunga melati yang menusuk hidungnya. Ternyata ada seorang wanita sedang cantik menari mengikut alunan muzik.

https://beritababe.com/kisah-penuh-kkn-di-desa-penari-jl-desa-penari-44/

 

    Sampai di rumah Pak Prabu, Widya mengajukan soalan tentang lokasi desa tersebut yang dirasakannya sangat jauh. Pak Prabu membalas pertanyaan Widya itu dengan menyatakan lokasi tersebut hanyalah berlokasi 30 minit dari jalan utama. Mendengar perbualan antara Pak Prabu dan Widya, Nur terdiam. Dia ternampak Genderuwo sedang mengintai mereka dari sebalik pohon pokok. Keenam-enam mahasiwa diajak untuk mengelilingi desa bagi melakukan tinjauan lokasi yang sesuai untuk projek KKN mereka. Di tengah-tengah jalan, ada sebuah kawasan perkuburan di mana semua batu nisan yang ditutup dengan kain hitam. Sesudah itu, Nur pun meminta izin untuk kembali ke tempat penginapan sementara mereka yang lain meneruskan perjalanan. Pak Prabu seterusnya melarang mereka semua untuk melalui sebuah kawasan yang dinamakan tapak tilas. Dalam bahasa yang lebih mudah, tapak tilas ini adalah kawasan penanda.

    Sewaktu berada di tempat penginapan mereka, Nur meluahkan kerisauannya kepada Ayu soal situasi semasa di desa tersebut. Ayu bagaimanapun menenangkan Nur bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan. Menjelang waktu malam, Nur, Ayu dan Widya tidur di bilik sama dengan beralaskan tikar. Sebelum tidur, Nur sempat melihat Genderuwo yang sedang mengintainya dari sebuah sudut bilik tersebut. Nur pun menutup seluruh badannya dengan selimut sambil membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Setiap kali selepas ayat selesai dibacakan, Nur terdengar dinding rumah dihentak. Ayu hanya mampu untuk menangis hingga dia akhirnya tertidur.

    Keesokan paginya, Widya mengajak Nur pergi mandi kolam di sebuah candi yang memang disediakan untuk mereka bagi membersihkan diri. Nur bersetuju dengan syarat bahawa dia akan mandi terlebih dahulu daripada Widya. Sampai di candi itu, Nur pergi ke kolam mandi manakala Widya menunggu di luar. Dalam bilik mandi tersebut, Nur terhidu satu bauan busuk sekaligus terus menyebabkannya  tergesa-gesa untuk mandi. Namun semasa dia sedang mandi itu, Nur dapat merasakan ada sesuatu yang menyentuh badannya. Tanpa diduga Nur, dia telah mandi berserta dengan helaian rambut. Selesai mandi, Nur pun cuba membuka pintu bilik mandi akan tetapi pintu itu seakan-akan sedang ditahan oleh seseorang dari luar. Nur pun menjerit menyuruh Widya untuk membuka pintu. Widya bagaimanapun tidak menyahut jeritan Nur. Nur menjerit secara berterusan hingga pada akhirnya dia menyedari ada satu sosok mahkluk besar yang sedang berdiri di belakangnya. Nur pun menutup mata sambil membaling batu kepada mahkluk itu. Tidak lama selepas itu, pintu bilik-bilik tiba-tiba dibuka oleh Widya yang memandang Nur dengan penuh kehairanan.

    Sebenarnya semasa Widya menunggu Nur mandi, dia mula berasa hairan selepas tidak mendengar sebarang bunyi air dari bilik mandi tersebut. Widya cuba mengetuk pintu Nur berkali-kali namun tiada sebarang suara Nur yang didengari. Pada masa sama, Widya terdengar bunyi seorang wanita sedang menyanyi dalam bahasa Jawa. Hanya selepas itu barulah Nur membuka pintu bilik mandi dalam keadaan kebingungan. Kini giliran Widya pula untuk mandi. Semasa Widya mandi, dia dapat merasakan segala gerak-gerinya sedang diperhatikan oleh seseorang. Saat Nur berada di luar, dia tiba-tiba terdengar suara seorang wanita sedang menyanyi. Suara tersebut rupa-rupanya adalah daripada penari wanita yang dia lihat tempoh hari. Wanita itu sedang membersihkan badannya sambil menyanyi. Nur menjadi kebingungan sehingga penari wanita tersebut menoleh ke arahnya lalu tersenyum.

    Selesai saja Widya mandi, dia pun keluar dari bilik mandi tersebut sebelum dia melontarkan soalan kepada Nur samada Nur boleh menyanyi dalam bahasa Jawa. Mendengar soalan ini, Nur sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena di desa tersebut. Jadi, Nur segera untuk pergi menemui Pak Prabu. Sampai di rumah Pak Prabu, Nur melihat Pak Prabu sedang duduk bersama dengan seorang lelaki tua yang dikenali sebagai Mbah Buyut dengan terdapat hidangan tiga buah gelas kopi di lantai. Sepertinya, Pak Prabu dan Mbah Buyut memang sedang menanti kedatangan Nur. Mbah Buyut mempelawa Nur untuk meminum kopi itu. Apabila diminum kopi tersebut, Nur berasa pelik kerana kopi hitam pekat itu berasa manis dan mempunyai bauan bunga melati. Mbah Buyut kemudian meminta Nur menjelaskan tujuan kedatangannya ke rumah Pak Prabu. Tanpa berlengah, Nur menceritakan tentang segala apa yang sudah berlaku kepada dirinya sepanjang berada di desa tersebut. Mendengar cerita Nur, Mbah Buyut menjelaskan bahawa segala kejadian menimpa Nur bukanlah disebabkan dia melanggar pantang larang yang ada di desa itu. Tambah Mbah Buyut lagi, Nur sebenarnya ada membawa sesuatu dari luar. Perkara ini bermaksud Nur selama ini sebenarnya dijaga oleh sesuatu. Nur yang terpinga-pinga dengan penjelasan tersebut telah disuruh oleh Mbah Buyut supaya datang semula ke rumah Mbah Buyut pada malam keesokannya untuk penjelasan lebih lanjut.

    Malam itu, Nur telah bermimpi Widya memeluk ular di mana ular itu seakan-akan ular peliharaan Widya. Nur terus tersedar selepas dia terdengar bunyi bising dari luar tempat kediamannya. Mengejutkan Nur apabila diberitahu oleh Wahyu tentang Widya yang sedang menari-nari tanpa dalam keadaan dia sedar. Waktu sebelum kejadian, Widya terbangun dari tidur sebelum dia melihat Nur keluar dari rumah. Nur seterusnya menari-nari di luar rumah dengan mengikut alunan gamelan. Saat Widya mendekati Nur, dia melihat wajah Nur bertukar menjadi wajah yang menyeramkan. Selepas satu ketika, Widya tersedar lalu mendapati bahawa dialah sebenarnya yang menari-nari di luar rumah pada waktu tengah malam buta tersebut dan bukannya Nur.

    Malam berikutnya, Nur pun pergi berjumpa dengan Mbah Buyut seperti yang dikehendaki. Malam itu, Nur telah dibawa oleh Mbah Buyut dan Pak Prabu pergi ke batu yakni tempat Nur melihat Genderuwo sebelumnya. Di situ, Pak Prabu menyiram darah ayam pada batu tersebut. Tidak lama selepas siraman itu, muncullah Genderuwo yang menjilat darah pada batu itu. Menurut penjelasan Mbah Buyut, penjaga Nur selama ini adalah seorang nenek tua yang dikenali sebagai Mbah Dok dengan penjagaan tersebut secara turun-temurun. Kedatangan Mbah Dok ternyata tidak disukai oleh makhluk-mahkluk halus lain yang berada di desa itu. Jiwa Nur dan Mbah Dok tersebut sudah sebati antara satu sama lain. Tiada apa yang boleh dilakukan untuk memisahkan mereka berdua. Jika dibuat sedemikian, Nur boleh mati.

https://beritababe.com/kisah-penuh-kkn-di-desa-penari-jl-desa-penari-44/

Keesokan harinya, projek KKN pun dimulakan dengan keenam-enam orang mahasiswa tersebut dipisahkan kepada tiga kumpulan. Ayu bersama Bima, Widya bersama Wahyu dan Nur bersama Anton. Satu ketika, Anton ada memberitahu Ayu tentang perangai Bima yang dirasakannya pelik sama sekali. Cerita Anton, dia sering melihat Bima bercakap dan tersenyum bersendirian. Adakalanya Bima membawa pulang sajian yang tidak diketahui entah dari mana. Nur pada mulanya tidak mempercayai cerita Anton ini kerana Bima yang dikenalinya adalah seorang yang sangat alim. Hanya selepas Anton menunjukkan sajian tersebut yang mengandungi foto Widya, barulah Nur percaya mengenai perkara tersebut. Tak cukup dengan itu, Anton menceritakan kepada Nur bahawa hampir setiap malam dia mendengar bunyi suara wanita dari bilik Bima yang tidak jelas akan kewujudannya. Anton dan Nur kemudian menjadi terkejut mendapati ada seekor keluar yang telah keluar dari sebuah almari dalam bilik Bima. Sejak kejadian tersebut, Nur mula menumpukan perhatian serta mengawasi tingkah laku Bima.

    Pada satu Maghrib, Widya menjadi kebingungan selepas mendapati Nur sedang meminum air di dapur sedangkan sebelum itu dia melihat Nur bersolat di ruang lain. Dalam fikiran Widya, siapa sebenarnya yang dia lihat sedang bersolat? Bimbang dengan keadaan Widya, mereka yang lain terus menyuruhnya untuk meminum air. Sesudah minum air itu, Widya memasukkan tangannya ke dalam kerana dia merasakan tersedak. Apa yang keluar dari mulut Widya, helaian rambut yang panjang. Di dalam bekas air yang mereka sedang minum itu rupanya-rupanya mempunyai gumpalan rambut. Anehnya, Nur tidak mengalami kejadian serupa sedangkan dia meminum air dari bekas yang sama. Waktu ini, Anton bependapat bahawa Widya berkemungkinan besar sudah terkena buatan orang. Pada masa sama, Nur telah mendengar Bima dan Ayu bertelagah antara satu sama lain. Apa yang mencurigakan Nur, pertelingkahan tersebut adalah berpunca daripada mahkota putih.

BACA JUGA :
Cerita Nyi Roro Kidul, Mitos Pantai Selatan dan Larangan Baju Hijau 69
Misteri Kampung Pitu Gunungkidul, Hanya Boleh Ditempati 7 Keluarga
Merinding! Kisah Kelam dan Mistis di Balik Lagu Nina Bobo, Terdapat 2 Versi Cerita Membuat Bulu Kuduk Berdiri

    Semakin hari, semakin banyak perkara aneh yang terjadi. Satu hari, Nur yang sedang berjalan bersendirian di desa itu telah menemui kawasan Tapak Tilas. Sewaktu berada di kawasan tersebut, Nur menyedari kehadiran Ayu dan Bima yang berada di depan sebuah pondok kosong terbiar. Pada hari sama, Widya dan Wahyu telah pergi ke kota untuk membeli barangan projek kerja KKN mereka. Selesai melakuan pembelian barang, mereka berdua pun pulang semula ke desa itu. Semasa dalam perjalanan, motosikal yang Widya dan Wahyu naiki tiba-tiba terhenti di separuh jalan. Muncul sekumpulan lelaki yang telah mengajak mereka berdua untuk pergi ke sebuah tempat yang sedang menganjurkan pesta makanan berserta tarian. Selesai pesta itu, Widya dan Wahyu diberikan sebuah bungkusan kertas berisi makanan untuk dibawa pulang. Sekembalinya di rumah penginapan mereka, Wahyu pun menceritakan kepada mereka yang lain tentang pesta tersebut. Cuma apa yang mengejutkan mereka saat itu, bungkusan kertas yang mereka bawa sebelumnya adalah daun pisang. Apabila balutan daun pisang tersebut dibuka, ia mengandungi kepala monyet yang masih berlumuran dengan darah segar berserta lendir! Sejak kejadian misteri itu, Wahyu telah jatuh sakit selama 3 hari.

    Sementara itu, Nur masih teringatkan perbualan mencurigakan antara Ayu dan Bima. Jadi pada satu malam tatkala Ayu dan Widya sedang tidur, Nur dalam diam telah memeriksa tas tangan Ayu yang didapati mengandungi sehelai selendang hijau. Penemuan tersebut memang benar-benar mengejutkan Nur kerana selendang hijau itu adalah sama seperti selendang hijau yang dipakai oleh penari wanita yang dilihatnya. Waktu ini, kedengaran bunyi gamelan. Tiba-tiba Widya muncul dengan memandang tepat wajah Nur. Widya bercakap dalam bahasa jawa yang tidak difahami oleh Nur.  Apa yang pasti dalam percakapan Widya yang seakan dirasuk tersebut, dia menjamin bahawa Nur akan pulang dengan selamat.

    Keesokan harinya, Bima datang menemui Nur dan mengakui perbuatan tidak senonohnya bersama dengan Ayu pada sehari sebelum itu. Pada pertemuan tersebut juga, Bima membuat pengakuan terhadap Nur tentang perasannya kepada Widya. Dakwa Bima lagi, dia cuba menyihir Widya untuk menyukainya dengan menggunakan mahkota putih yang diberikan oleh seorang penari bernama Dawuh. Walau bagaimanapun, mahkota putih itu telah disimpan oleh Ayu kerana dia menaruh perasaan terhadap Bima. Nur cuba mendapatkan penjelasan tersebut daripada Ayu akan tetapi Ayu memilih untuk mendiamkan diri. Menjelang waktu malam,Widya yang baru selesai melakukan tugas KKN terus pulang ke rumah. Sampai di kawasan rumah, Widya mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ sebelum melihat Nur sedang duduk di dapur. Saat menakutkan untuk Widya apabila Nur tiba mengeluarkan suara seperti seorang wanita tua, tidak lain tidak bukan suara Mbah Dok. Widya cuba menyedarkan Nur akan tetapi dibalas dengan suara hilaian ketawa dan tengkingan suara Mbah Dok yang memberikan amaran bahawa ada antara mereka yang telah melanggar pantang larang di desa itu. Bahkan Mbah Dok tekad untuk melindungi Nur sampai bila-bila. Selepas Nur tersedar semula, dia terus menceritakan pengalaman mistiknya kepada Widya. Dek kerana Nur berasa janggal, maka dia pun pergi memeriksa semua barangan milik Widya. Hasil pemeriksaan, Nur telah menemui sebuah mahkota putih di dalam tas tangan Widya.

    Nur kemudian memasukkan mahkota putih itu ke dalam sebuah kotak berserta dengan selendang hijau yang ditemui di dalam tas tangan Ayu. Menerusi pengakuan yang dibuat oleh Ayu, dia membuat pengakuan bahawa selendang hijau tersebut digunakan untuk memikat Bima. Ayu bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana dia boleh memiliki selendang hijau itu. Saat kemuncak cerita ini adalah daripada perspektif Nur pada satu malam di mana dia terdengar suara Widya menangis di sisi Ayu yang terbaring kaku dengan mata terbeliak dan mulutnya ternganga luas. Tidak lama selepas itu, Widya menghilang. Begitu juga dengan Bima. Hingga pada akhirnya, Nur membuat keputusan untuk pergi menemui Pak Prabu dan Mbah Buyut dengan membawa kotak yang berisi mahkota putih dan selendang hijau tersebut. Selepas mendengar cerita daripada Nur, Mbah Buyut menjelaskan bahawa Bima dan Ayu telah melakukan kesalahan besar. Disebabkan itu, roh mereka berdua diambil oleh jin Bandarawuhi. Widya pula menghilang berserta dengan jasad kerana Bandarawuhi benar-benar menginginkannya.

    Berbalik kepada sudut pandangan Widya sebelum kejadian berlaku, dia melihat Bima keluar bersendirian dari rumah penginapan mereka pada waktu tengah malam. Widya yang didorong dengan perasaan ingin tahu telah mengekori Bima hingga ke kawasan Tapak Tilas. Di situ, Bima berendam di dalam sebuah kolam yang dikelilingi dengan banyak ular. Widya yang diselubungi dengan rasa ketakutan pergi melarikan diri. Semasa melarikan diri, Widya telah terdengar suara orang bersorak, muzik gong, gendang dan bunyi gamelan. Widya mula menangis apabila dia melihat banyak mahkluk menyeramkan sedang berada di sekelilingnya. Sampai di satu tempat, Widya ternampak satu sosok tubuh wanita yang sedang menari dengan lemah gemalai. Setelah diperhatikan, penari wanita tersebut adalah Ayu. Melalui reaksi wajah Ayu yang nampak begitu sugul, dia memberikan isyarat kepada Widya agar melarikan diri. Widya berlari sekuat hati hinggalah dia melihat seekor anjing yang sedang berada di kawasan hujung tapak tilas berkenaan. Widya pun keluar dengan selamat dari tapak tilas itu dengan mengikut jejak langkah anjing tersebut.

    Bima dan Ayu menjadi mangsa korban akibat perbuatan tidak senonoh yang mereka berdua lakukan di kawasan tapak tilas itu. Menurut Pak Prabu, tapak tilas tersebut sebelum ini merupakan tempat pertunjukan tarian untuk dipersembahkan kepada bangsa jin yang tinggal di dalam hutan itu. Dahulu tarian tersebut dilakukan supaya jin tersebut tidak mengganggu manusia. Kriteria penarinya adalah seorang wanita muda cantik berserta masih dara. Sejajar dengan peredaran waktu, tiada lagi tarian dibuat memandangkan ketiadaan anak-anak muda di desa itu.

    Susulan kejadian yang menimpa para mahasiswa tersebut, pihak kampus universiti dan keluarga telah menjemput mereka semua untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Tiga hari sesudah keluar dari desa itu, Bima yang masih dalam keadaan kaku meninggal dunia. Dia dikatakan sempat menjerit dengan menyebut perkataan ular sebelum menutup mata. Tiga bulan berikutnya, giliran Ayu yang lumpuh satu badan telah menghembuskan nafas terakhirnya. Ayu menitiskan air matanya sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

    Mesti ada yang tertanya-tanya tentang Badarawuhi? Berikut adalah penjelasannya. Badarawuhi merupakan wanita cantik jelmaan ular yang pandai menari dengan berpakaian serba hijau. Sejak dari awal lagi, Badarawuhi ini tertarik dengan Widya. Dia berniat untuk menjadikan Widya sebagai penari yang menghiburkan makhlus halus di hutan tersebut bagi menggantikan Dawuh. Widya dijadikan sebagai pilihan kerana dia memiliki darah yang sangat digemari oleh makhluk halus. Badarawuhi tahu tentang Bima yang menyukai Widya. Jadi Badarawuhi menggunakan kesempatan ini untuk memperdayakan Bima demi mendapatkan Widya. Maka Badarawuhi pun masuk ke dalam mimpi Bima dengan menggambarkan situasi Widya dililit oleh ular. Ugut Badarawuhi, dia hanya akan melepaskan Widya jika Bima menuruti permintaannya. Disebabkan rasa cintanya terhadap Widya, Bima pun menuruti kehendak Badarawuhi. Maka, Bima juga harus memuaskan nafsu Badarawuhi pada setiap malam (Ini adalah penjelasan cerita Anton yang mendengar suara wanita dari bilik tidur Bima yang didengarinya pada setiap malam dan ular hijau yang keluar dari almari). Pada masa sama, Bima berasa menyesal dengan perkara itu akan tetapi semuanya sudah terlambat. Badarawuhi juga menyerahkan mahkota putih kepada Bima untuk diberikan kepada Widya. Kononnya, mahkota putih tersebut bertujuan bagi melindungi Widya. Padahal gelang tersebut sebenarnya bertujuan sebagai pengikat manusia untuk menjadi penari di desa itu. Seterusnya, Bima menyuruh Ayu untuk memasukkan mahkota putih tersebut ke dalam tas tangan Widya. Ayu bagaimanapun tidak membuat perkara itu kerana dia menyukai Bima. Waktu ini, Badarawuhi mendapat tahu tentang perasaan Ayu kepada Bima. Badarawuhi pun memperdayakan Ayu dengan menyuruh Ayu menyerahkan saja mahkota putih itu kepada Widya. Sebagai ganjaran, Ayu diberikan selendang hijau yang mempunyai kekuatan untuk menarik hati sesiapa pun saja yang disukainya. Ayu menuruti permintaan Badarawuhi dengan meletakkan mahkota putih tersebut ke dalam tas tangan Widya. Ayu juga telah berjaya menggoda Bima menggunakan selendang hijau tersebut hingga pada akhirnya mereka berdua melakukan perbuatan tidak senonoh di kawasan tapak tilas. Ayu dan Bima terpaksa menanggung akibat perbuatan mereka itu. Mahkota putih tersebut pula ditemui oleh Nur, bukan Widya. Tiada apa yang Badarawuhi boleh lakukan kerana Nur dijaga oleh Mbah Dok.

By Admin